Thursday, January 20, 2011

Buku Log

Dalam dunia kepengakapan, sesebuah laporan kemajuan, pencapaian dan aktiviti bertulis atau dicatatkan oleh seseorang Pengakap yang mengambil sesuatu ujian lencana atau anugerah adalah dipanggil sebagai ‘Buku Log’.

Buku Log seharusnya mengandungi catatan rekod yang diharapkan boleh dijadikan panduan, laporan dan juga pengesahan terhadap penglibatan seseorang Pengakap itu. Ianya juga boleh merupakan rakaman peristiwa yang berlaku dan catatan harian bagi sesuatu aktiviti Pengakap.

Sehubungan itu, seseorang pencatat buku log haruslah mengasah kemahiran meneliti dan menghalusi pemahaman terhadap persekitarannya serta mampu pula menzahirkannya dalam bentuk penulisan, lakaran mahupun bantuan visual ataupun grafik.

Di dalam buku log ahli Pengakap, Pemimpin juga boleh mencatat komen terhadap penulisan serta memberikan pengesahan terhadap ujian yang diambil oleh ahli Pengakap tersebut.

NOTA:
Semasa Ujian Pentarafan Pengakap Raja, buku log peserta akan diperiksa oleh Lembaga Pentaraf Pengakap Raja Negeri untuk melihat sejarah serta penglibatan peserta dalam Kepengakapan secara keseluruhan. Jadi, pemeriksa akan mengharapkan yang peserta akan melampirkan atau melekatkan salinan sijil-sijil kelulusan bagi lencana dan ujian terbabit di dalam buku log mereka.


Setakat ini, tiada had piawai bagi jumlah mukasurat sesebuah buku log. Namun berdasarkan pengalaman, buku log yang baik hendaklah mempunyai sekitar 200 – 300 helaian dan sebaiknya yang berkulit tebal agar ianya boleh disimpan dengan baik pada satu jangka masa yang lama.



UNIT PENGAKAP MUDA

1) Catatan Peribadi (Maklumat diri) + Lencana Keahlian - 1 buku
2) Lencana Usaha - 1 buku
3) Lencana Maju - 1 buku
4) Lencana Jaya + Rambu Pengakap Muda - 1 buku
5) Buku Log Lencana Kepandaian, Kegemaran dan Pengetahuan - 8 buku
6) Buku Log Pengembaraan - 1 buku

UNIT PENGAKAP REMAJA

1) Lencana Ekspedisi - 1 buku
2) Lencana Jayadiri - 1 buku
3) Lencana Kegiatan - 1 buku
4) Lencana Kemahiran - 1 buku
5) Lencana Perkhidmatan - 1 buku
6) Ujian Sikap - 1 buku


* Bagi semua unit-unit Pengakap di atas, program atau aktiviti tambahan yang disertai seperti perkhemahan, kursus, jambori dan sebagainya boleh dimuatkan dalam 1 buku berasingan.
Kegunaan Buku Log sebenarnya bukan hanya terhad kepada ahli Pengakap yang ingin mengambil ujian. Pemimpin serta Pesuruhjaya Pengakap juga masih boleh menggunakan kaedah buku log untuk merekodkan benda-benda seperti berikut :

- Kemajuan atau prestasi ahli Pengakap di bawah bimbingannya.
- Kursus dan seminar yang dijalani
- Jambori dan perkhemahan yang dihadiri
- ‘Trip’ atau rombongan lawatan yang disertai

No comments:

Post a Comment